sukan

Komen Pan Gon Selepas dikecewakan Tajikistan di Final

Tiada kata-kata yang mampu disuarakan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon selain ucapan maaf selepas gagal memenangi Pestabola Merdeka 2023, malam tadi.

Sidang media pasca perlawanan yang dikendalikan Pan Gon kali ini memberikan perasaan berbeza terutama menerusi riak wajah jurulatih dari Korea Selatan yang tampak kecewa dengan kekalahan 0-2 di tangan Tajikistan itu.

“Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia yang meletakkan jangkaan tinggi untuk kita memenangi piala selepas beberapa tahun.

“Tetapi kami tidak berjaya memberikan kejuaraan seperti yang diharapkan jadi sebagai jurulatih, saya minta maaf atas keputusan ini.

“Tetapi saya tetap berbangga dengan pemain kerana kita menyerang dan mendominasi perlawanan menentang pasukan di tangga ke-110 dunia.

“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa kita tidak akan selalunya menang, jadi ini akan menjadi pengajaran buat kita,” kata Pan Gon.

Terdahulu, Malaysia kempunan untuk merangkul trofi Pestabola Merdeka 2023 apabila tewas 0-2 di tangan Tajikistan pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Selepas mengecewakan Harimau Malaya di pentas final Piala Raja Thai tahun lalu, ‘Singa Persia’ menghampakan Malaysia buat kali kedua, kali ini di hadapan hampir 40,000 penyokong tuan rumah untuk kekalahan pertama skuad negara selepas tujuh perlawanan.

sumber:- BH

Ini turut menyaksikan skuad negara terus kemarau untuk merangkul sebarang trofi selepas kali terakhir memenangi trofi Piala AFF 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.