Setiap jenis rumput memerlukan masa sekurang-kurangnya empat bulan untuk memastikan akarnya kuat sebelum boleh digunakan dalam apa jua aktiviti termasuklah membabitkan perlawanan bola sepak.
Ketua Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia Profesor Dr Muhammad Saiful Ahmad Hamdani berkata, semua jenis rumput termasuklah Zeon Zoysia tidak terkecuali perlu melalui proses berkenaan bagi memastikan ia tidak mudah ‘cedera’ atau rosak.
Beliau berkata, proses pencahayaan pula memerlukan tempoh enam hingga lapan jam sehari bagi memastikan ia pulih sebelum boleh digunakan kembali.
“Apa boleh saya katakan paling kurang pun rumput boleh digunakan adalah dalam tempoh empat bulan selepas ia mula ditanam.
“Hal ini kerana ia datang dalam bentuk kepingan dan apabila nak tanam kita kena pastikan akarnya akan kuat. Sudah tentu proses terbabit memerlukan tempoh masa tertentu.
“Sebenarnya, tak jadi masalah ambil rumput di tempat lain dan tanam di stadium namun tempoh untuk matang atau sesuai digunakan menjadi keutamaan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tidak sampai tempoh 48 jam padang baharu SNBJ digunakan namun ia sudah kelihatan rosak sebaik 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023.
Jelas sekali padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau ‘koyak’ seawal lima minit sepak mula perlawanan membabitkan Malaysia menentang India sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air terhadap kualiti rumput yang digunakan itu.
Difahamkan, rumput digunakan tidak melalui proses yang betul atau tidak sampai tempoh matang ia sebenarnya hanya’ditampal’ namun bukanlah ditanam di nurseri milik stadium terbabit seperti didakwa oleh pihak tertentu.
sumber:- HM
Katanya, rumput yang digunakan pada perlawanan Pestabola Merdeka itu dibeli khas dari Thailand kira-kira dua bulan lalu dan terus digunakan di padang SNBJ sekali gus menyebabkannya rosak pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka.