sukan

Kenyataan pengendali Tajikitstan dibidas Pan Gon menjelang Final

Ketika Petar Segrt seakan meminta ‘simpati’ Malaysia dengan menyatakan mereka membawa pemain muda kali ini namun kenyataan pengendali Tajikistan itu tampaknya tidak disenangi jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Ini kerana Pan Gon melihat kenyataan Segrt itu seperti cuba mencari alasan sebelum perlawanan yang secara tidak langsung mencerminkan betapa dia sama sekali tidak yakin terhadap kemampuan pasukannya untuk menghadapi final Pestabola Merdeka, malam esok.

“Kenapa dia menangis (merungut) sebelum perlawanan? Ini adalah satu tabiat yang tidak baik kerana dia memberikan alasan sebelum perlawanan bermula. Sebagai ketua, saya tidak akan bercakap seperti ini.

“Kita mesti percaya pada pemain kita, pasukan kita dan apa yang kita miliki adalah yang terbaik. Sikap pemain mesti berada pada tahap yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan.

“Pada saya, ini satu sikap yang tidak baik apabila ketua takut dan tidak yakin yang mereka ada pemain yang terbaik, jadi hanya menunggu tuah. Ini juga tidak menghormati pasukan lawan.

“Saya akan katakan bahawa saya memiliki skuad yang terbaik dan berkeyakinan untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada penyokong,” kata Pan Gon pada sidang media praperlawanan final Pestabola Merdeka di Subang Jaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pan Gon juga turut menyifatkan final Pestabola Merdeka ini sebagai peluang terbaik untuk mereka menebus kekecewaan di final Piala Raja Thai yang menyaksikan mereka dikecewakan Tajikistan 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

“Pemain begitu bermotivasi tinggi untuk aksi final dan kita ada pengalaman menentang mereka di final Piala Raja Thai sebelum ini. Kami tiada memori yang baik sebelum ini dan pemain tidak sabar menantikan perlawanan ini.

“Kami bermain dengan sangat baik sebelum ini dan saya harap kami dapat terus memperagakan aksi yang terbaik bagi membuktikan bahawa kita adalah pasukan yang lebih baik daripada Tajikistan.

“Saya rasa kita pasukan yang lebih baik bukan dari segi taktikal tetapi dari segi semangat dan sikap yang ditunjukkan. Saya juga lihat taktikal kita semakin stabil dan memperagakan perlawanan yang menarik,” katanya.