sukan

Jumlah gol bukti pelaburan JDT berbaloi

Sembilan gol yang dijaringkan Saap Baharom buat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Piala Supermokh, minggu lalu harus cukup membuktikan dia memiliki ciri-ciri penyerang yang berkualiti.

Ini diakui jurulatih pasukan Bawah 12 tahun (B-12) JDT, Hafiz Zainal yang menganggap ia permulaan yang baik dilakar pemain Orang Asli berkenaan selepas hanya kira-kira dua minggu mengikuti latihan bersama pasukan.

Menurutnya, Saap mempunyai kemahiran dan kesungguhan yang tinggi disokong dengan fizikal yang tegap, sekali gus ia menjadi kelebihan buat dirinya untuk muncul sebagai penyerang terbaik suatu hari nanti.

Katanya, di peringkat awal ini tumpuan terhadap Saap ialah untuk memastikan dia dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan serta persekitaran baharu yang mungkin begitu asing buat dirinya.

“Selepas dua minggu berada dalam kem pasukan JDT, saya dapati dia (Saap) sudah mula dapat menyesuaikan dengan pasukan serta rakan sepasukan. Dia boleh berbual dengan rakan ketika berada di asrama termasuk setiap kali sesi latihan.

“Saya yakin dia mampu menyerlah sekiranya terus diberi peluang menyertai pelbagai kejohanan bola sepak peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata Hafiz pada majlis penyampaian hadiah Piala Supermokh 2023, di sini kelmarin.

JDT muncul naib johan kejohanan berkenaan selepas tewas 2-5 pada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A pada perlawanan akhir.

Sementara itu, Saap berkata, dia akan terus berusaha memberi persembahan terbaik untuk pasukan JDT bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dan pihak pengurusan.

sumber:- BH

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencipta kejayaan dalam sukan bola sepak bagi membuktikan Orang Asli juga boleh berjaya sama dengan masyarakat lain,” katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.