sukan

Cools laung keyakinan tinggi

Barisan skuad Harimau Malaya sudah bersedia jika pengendali pasukan Kim Pan-gon menukar corak permainan atau taktikal apabila bertemu Tajikistan pada aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), esok.

Kapten skuad Harimau Malaya, Dion Cools berkata, corak permainan ditampilkan Pan-gon sudah pastinya berbeza apabila beraksi bersama kelab sekali gus menuntut barisan pemain cepat menyesuaikan diri supaya tidak berhadapan sebarang masalah.

Cools berkata, perbezaan taktikal yang ditampilkan Pan-gon sudah pastinya meningkatkan lagi keupayaan pasukan sekali gus mampu mengejutkan lawan yang berada di ranking lebih baik.

“Prestasi skuad Harimau Malaya meningkat setiap perlawanan dan apa yang boleh saya katakan gaya dan taktikal ditampilkan berbeza dalam pasukan kebangsaan dan bersama kelab.

“Barisan pemain perlu berusaha menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu diperkenalkan Pan-gon demi memastikan pasukan berada pada tahap lebih baik.

“Cabaran yang dilalui sememangnya besar termasuklah tekanan dihadapi. Namun, segalanya itu menjadikan pasukan lebih baik dan maju ke depan,” katanya, ketika ditemui pada sidang media pra perlawanan final Pestabola Merdeka Malaysia menentang Tajikistan, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, pemain berusia 27 tahun itu berkata, barisan pemain bersedia berjuang habis-habisan dengan harapan dapat menghadiahkan trofi pertama buat Pan-gon.

“Beraksi di pentas final Pestabola Merdeka adalah kenangan terindah terutamanya mendapat sokongan daripada penyokong sendiri di SNBJ.

sumber:- HM

“Kita akan beraksi dengan baik kerana semua pemain tidak berhadapan masalah untuk beraksi sekali gus dapat membawa pulang trofi Pestabola Merdeka,” katanya.