sukan

Nasib pasukan culas gaji

Nasib dan pasukan mana yang akan diberikan Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim depan akan diketahui pada 19 Oktober ini menerusi pengumuman yang akan di buat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak menetapkan jumlah minimum pasukan dalam saingan Liga Super musim depan, sebaliknya mahu memberi keutamaan kepada kestabilan liga dan mengelak isu tunggakan gaji.

Stuart berkata, ketika ini semua kelab sedia ada telah menghantar dokumen yang diperlukan dan kini pihak First Instance Body (FIB) sedang memeriksa dan membuat penelitian terhadap segala butiran dokumen yang telah dihantar termasuk kewangan.

“Tiada jumlah minimum yang kita tetapkan (dalam Liga Super), tahun lepas pun kita ada 12 pasukan sebelum kita tambah jadi 14 pasukan, keutamaan kami adalah kestabilan liga dan untuk pastikan isu yang tunggakan gaji yang sering melanda dapat dielakkan.

“Tahun lepas kita dah ambil langkah awal dengan mendenda dan menolak mata pasukan yang berdepan bermasalah, selain pada hujung musim kita terpaksa tidak memberi lesen kepada dua pasukan (Melaka United dan Sarawak United),” katanya.

Ditanya tentang Kelantan FC yang dikatakan lambat menghantar dokumen yang diperlukan, Stuart berkata, memang ada kelewatan kerana tarikh akhir ialah hujung September namun, pasukan itu telah menghantar semua dokumen yang diperlukan FIB.

“Kelantan ada juga beberapa dokumen yang mereka hantar lewat tetapi sudah ada dalam tangan FIB. Jawatankuasa akan bersidang dan akan ada keputusan nanti, kita harap semua pasukan faham kriteria pelesenan kali ini dan kita akan lebih tegas musim depan,” katanya.

Sementara itu katanya, MFL telah berbincang dengan semua pemegang taruh bagi meneruskan perancangan asal untuk melaksanakan saingan Liga Malaysia (Liga M) mengikut format kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mulai tahun 2024.

“Jadual liga akan ikut AFC. Kami dah adakan perbincangan dengan setiap pasukan dan pemegang saham. Liga akan mula April tahun depan. Kalau jendela perpindahan bukan dalam tempoh yang betul, pasukan (Liga M) akan terima pemain import yang tiada kelab.

“Jadi bila kita pindah liga, ia akan selari dengan liga lain. Tapi perubahan ini ambil masa dua musim. Semua kelab faham ini adalah apa yang AFC nak, kami hanya terima dan sambung. Kalau tak berubah, ia akan beri impak kepada liga kita persiapan pasukan kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, saingan Liga Perdana masih lagi tidak akan dimainkan pada musim depan berikutan pihaknya melihat tiada pasukan yang boleh mengisi saingan itu.

“Keutamaan pada tahun depan adalah bekerjasama dengan pihak Liga Bola Sepak Amatur (AFL) untuk melaksanakan lebih banyak pembangunan kelab untuk pastikan pasukan di Liga M3 berkaliber mengisi ruang dalam divisyen dua,” katanya.