sukan

Skuad muda Negara ‘jinakkan’ juara bertahan dari Croatia

Skuad muda negara, AMD Dream memulakan Kejohanan Bolasepak Piala Supermokh 2023 bagi kategori bawah 14 (B-14) tahun dengan positif apabila mengikat juara bertahan dari Croatia, NK Osijek 1-1.

Pada aksi yang berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang, NK Osijek mendahului pada minit ke-43 hasil jaringan Jakov Dedic sebelum Arfan Haziq Ahmad Marzuki menyamakan kedudukan, tujuh minit kemudian.

Ketua jurulatih AMD Dream, Ahmad Shahir menyifatkan keputusan seri yang dicatat anak buahnya itu sebagai keputusan positif dan langkah permulaan dalam misi ke pentas final.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain, cuma ada satu, dua perkara yang perlu diperbaiki pada perlawanan yang seterusnya terutama kesilapan mudah ketika bertahan.

“Untuk kejohanan kali ini sasaran pasukan adalah ke pentas final dan mengharapkan satu mata diraih akan menjadi langkah permulaan ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, ketua jurularih NK Osijek, Ante Bekavic menjelaskan AMD Dream memiliki kualiti permainan yang bagus berdasarkan saingan yang diberikan terhadap pasukannya.

Malah, dia menyifatkan satu mata yang diraih adalah keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan.

“Terima kasih kepada penganjur (MSN) yang mengadakan kejohanan untuk pemain muda membuktikan kemampuan yang dimiliki mereka,” katanya.

sumber:- BH

Dalam satu lagi perlawanan, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) terpaksa akur dengan kehebatan wakil Thailand, Buriram United apabila tewas 2-4.