sukan

Suhaimi Hussin akui terkejut

Penjaga gol Terengganu FC Suhaimi Hussin membuktikan kehadirannya kali pertama dalam skuad kebangsaan bagi mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka bermula 13 Oktober ini adalah berbaloi.

Walaupun menyedari perlu bersaing dengan nama besar lain seperti Syihan Hazmi dan Azri Ghani selaku penjaga gol utama Harimau Malaya namun bagi Suhaimi situasi berkenaan akan membuatkannya lebih berusaha keras untuk disenaraikan dalam perlawanan terbabit.

Suhaimi berkata, dia menyedari tekanan atau cabaran lebih besar apabila mewakili negara dan sudah bersedia mempamerkan aksi terbaik dalam usaha membantu pasukan meraih keputusan positif kelak.

“Syukur kerana pertama kali dapat panggilan ke skuad kebangsaan. Saya memang terkejut kali pertama dipanggil dan akan buktikan kemampuan saya.

“Terima kasih kepada Tomislav Steinbruckner (jurulatih Terengganu FC) sebab bagi peluang bermain dan minit permainan itu penting hingga buat saya dapat panggilan ini.

“Semua tahu mental perlu kuat untuk berada dalam skuad kebangsaan dan saya sedia hadapi cabaran ini. Syihan dan Azri adalah penjaga gol yang baik dan profesional dan saya akan rebut peluang yang diberikan.

“Pada awalnya gugup tetapi sekarang sudah serasi dengan rakan sepasukan selain sistem latihan yang sama di kelab buatkan saya cepat adaptasi dan jika diberi peluang beraksi saya akan gunakan pengalaman bermain di peringkat Asia bersama kelab untuk skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain itu, pemain berusia 29 tahun itu memberitahu bahawa sokongan daripada isteri dan keluarga menjadi sumber inspirasi untuk dia mempamerkan aksi terbaik hingga dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon.

sumber:- HM

Mengikut rekod, Suhaimi bakal bersaing dengan Syihan dan Azri untuk dua aksi di Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil.