sukan

Tolong selesai cepat

“Kami berharap pihak pengurusan kelab (NSFC) jika boleh dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain secepat mungkin untuk kepentingan pemain dan pasukan,” kata penolong ketua pasukan Negeri Sembilan FC, Nasrullah Hanif Johan.

Menurut tonggak pertahanan berpengalaman itu, pihaknya tidak mahu masalah berkenaan mengganggu fokus rakan-rakan dalam skuad Hobin Jang Hobin bagi menghadapi baki tiga perlawanan Liga Super yang akan dihadapi kelak.

“Secara peribadi sebolehnya saya tidak mahu fokus dan semangat rakan-rakan terganggu disebabkan masalah tunggakan gaji ini sedangkan tugas mengharungi cabaran Liga Super musim ini belum berakhir.

“Menjadi hasrat kami untuk memberikan persembahan terbaik dalam baki tiga perlawanan Liga Super dan mengharapkan pasukan dapat memenangi kesemua baki perlawanan berkenaan.

“Ini penting dalam usaha memastikan kedudukan pasukan dalam carta liga dapat diperbaiki sekali gus menamatkan saingan Liga Super musim ini pada kedudukan yang lebih baik berbanding tempat kesembilan ketika ini,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan mengesahkan bahawa pasukan bimbingannya menghadapi masalah gaji, namun pihaknya yakin pengurusan kelab terbabit akan dapat menyelesaikan masalah itu dalam tempoh terdekat.

Difahamkan sehingga kini, pemain pasukan berkenaan belum menerima gaji bagi bulan Ogos dan September, sekali gus memberi kesan kepada urusan harian selain dibimbangi boleh menjejaskan tumpuan pemain terhadap pasukan.

Mengulas lanjut situasi yang dihadapi dia dan rakan sepasukan, Nasrullah berkata, pengurusan kelab sudah memberikan penjelasan berkaitan perkara itu dan semua pemain memahami kekangan yang dihadapi majikan mereka.

Menurutnya, mereka turut memberi jaminan akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin dan pemain boleh menerima hak mereka seperti biasa.

“Kami semua memahami keadaan yang dihadapi dan menaruh keyakinan tinggi terhadap kepemimpinan kelab untuk menyelesaikan perkara ini untuk kepentingan kedua-dua pihak.

“Selaku pemain senior dan ketua pasukan, saya sendiri sudah berbincang dengan rakan-rakan serta meminta mereka memberikan kerjasama baik dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan reputasi serta imej pasukan seperti menguar-uarkan di laman sosial dan sebagainya,” katanya.

Isu tunggakan gaji pemain Negeri Sembilan tercetus selepas pasukan itu tewas kepada Perak FC 1-0, dalam pertembungan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 1 Oktober lalu.

sumber:- HM

Kekalahan di laman sendiri itu dikaitkan dengan tindakan protes pemain selepas mereka dikatakan tidak menerima dua bulan gaji bagi bulan Ogos dan September tahun ini.