Paul Pogba berdepan penggantungan empat tahun selepas sampel keduanya juga didapati positif testosteron.
Pemain Perancis berusia 30 tahun itu digantung sementara selepas gagal ujian doping bulan lalu, dan sampel kedua yang diberikan Pogba juga didapati positif.
“Paul Pogba positif doping testosteron ke atas sampel keduanya hari ini. Juventus kini perlu memutuskan bagaimana untuk menguruskan kontraknya selepas Pogba berisiko digantung untuk tempoh yang panjang,” kata wartawan sukan Itali, Fabrizio Romano.
Pogba didapati positif testosteron buat pertama kali selepas aksi pembukaan Juventus menentang Udinese.Bekas bintang Manchester United itu sekadar memanaskan bangku simpanan dalam kemenangan pasukannya, tetapi dipilih untuk ujian doping.
Sampel pertamanya didapati positif dan dia diberikan tempoh tiga hari untuk menyerahkan sampel kedua.Testosteron adalah hormon yang mampu meningkatkan kekuatan otot dan boleh didapati di farmasi-farmasi.
Hormon berkenaan juga terhasil secara semula jadi di dalam badan manusia dan biasanya pada lelaki, tetapi ujian ke atas atlet akan mengesan testosteron sintetik di dalam sistem mereka.
sumber:- BH
Pogba akan disoal siasat oleh tribunal anti-doping dan jika didapati bersalah, dia akan digantung dua hingga empat tahun. – AGENSI