sukan

Nama Syahmi Zamri ‘meletup’

Penyerang muda meningkat naik Terengganu FC (TFC), Muhammad Syahmi Zamri akui tiada jalan mudah buatnya untuk mendapat tempat dalam pasukannya melainkan perlu bekerja lebih keras lagi.

Malah pemain skuad ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II) itu akui perjalanan untuk menjadi pemain terbaik masih berliku dan perlu banyak ‘berguru’ lagi bagi memastikannya lebih tajam di depan gawang pasukan lawan.

Pada aksi kedua Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) menentang kelab Indonesia, Bali United di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali pada Rabu lalu, nama pemain berusia 23 tahun ‘meletup’ selepas muncul penyelamat apabila jaringannya pada minit ke-84 menyaksikan TFC berjaya mengikat tuan rumah 1-1.

“Tiada jalan pintas untuk menjadi pemain terbaik melainkan perlu berusaha lebih gigih lagi selain berguru dengan barisan kejurulatihan.

“Jadi peluang yang diberikan jurulatih (Tomislav Steinbruckner) dalam setiap perlawanan akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan lagi prestasi diri.

“Terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang memberikan kepercayaan kepada saya berada dalam skuad utama,” kata pemain yang sudah meledak satu gol bersama TFC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor FC.

Ketika ditanya mengenai jaringan pentingnya dalam saingan Piala AFC itu, pemain yang pernah menyarung jersi Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dan FELDA United itu akui begitu gembira lebih-lebih lagi jaringan pertamanya di pentas antarabangsa.

“Siapa yang tidak gembira dapat menjaringkan gol, lebih-lebih lagi jaringan pertama di pentas Asia selain jaringan itu penting buat pasukan, lagipun bukan mudah kerana pemain Bali United bagi saingan yang hebat.

sumber:- HM

“Namun syukur pasukan kami dapat menyamakan kedudukan, satu mata sudah cukup, tapi sebenarnya saya belum puas dengan prestasi diri serta tidak berasakan diri begitu bagus. Jadi jika diberi peluang oleh jurulatih, saya tekad untuk memperbaiki corak permainan, lagipun bukan mudah untuk berada dalam skuad, terima kasih kepada rakan sepasukan yang menyokong,” kata Syahmi.