sukan

Komen Kim Swee selepas menang besar ke atas wakil Indonesia

Sabah FC tidak mahu terus dibuai mimpi indah selepas meraih kemenangan besar dengan membelasah PSM Makassar 5-0 dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC, semalam.

Hal ini kerana, pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee harus memikirkan cabaran atau rintangan yang lebih besar bakal ditempuhi mereka pada perlawanan akan datang.

“Kami bermain mengikut perancangan dan PSM Makasar yang kehilangan seorang pemain sedikit sebanyak membantu namun kami tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan ini dan perlu fokus untuk perlawanan akan datang.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemain kerana mereka berjaya mengikut apa yang dirancang dan akhirnya kami berjaya mencipta kemenangan selain dibantu kekurangan seorang pemain pasukan lawan.

“Walaupun pemain mempunyai beberapa isu di luar padang tetapi mereka membuktikan dengan menunjukkan mentaliti yang cukup baik dan kita dapatkan mata penuh dengan jumlah jaringan yang banyak,” katanya

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali itu menyaksikan Sabah berpesta gol menerusi dua jaringan Darren Lok dan masing-masing satu dari Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Farhan Roslan.

Kemenangan 5-0 ke atas PSM Makassar menyaksikan Sabah kini menghuni tangga teratas Kumpulan H dengan enam mata diekori Hougang United dan Haiphong FC masing-masing dengan tiga mata manakala PSM Makassar tercorot tanpa sebarang mata selepas berakhir dua perlawanan.

Sementara itu, pengendali berusia 53 tahun itu turut memuji kelincahan tonggak utamanya Saddil Ramdhani apabila mencipta tiga bantuan jaringan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Sabah.

“Saddil ingin buktikan sesuatu yang dia adalah seorang pemain yang bertaraf tinggi dan terbaik di Asia Tenggara. Namun ianya masih terlalu awal dan dia juga masih muda dan harap dia dapat berikan prestasi yang positif dalam perlawanan akan datang.

sumber:- HM

“Masih terlalu awal untuk berasa selesa kerana baru dua perlawanan dan perlu kekalkan momentum serta fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan di mana kita tidak ingin memikirkan kita akan layak namun perlu memikirkan yang kita hanya baharu bermain dua perlawanan,” katanya.