Liverpool semakin menghampiri pusingan kalah mati Liga Europa apabila menang 2-0 ke atas Union Saint-Gilloise awal pagi tadi, manakala Brighton bangkit untuk meraih mata pertama mereka di Eropah pada perlawanan menarik ketika seri 2-2 di Marseille.
Kemenangan 2-1 West Ham di Freiburg menyaksikan mereka mencatat rekod baharu tanpa kalah buat kelab Inggeris di Eropah, manakala Romelu Lukaku antara penjaring ketika AS Roma membenam Servette 4-0.
Jurgen Klopp menyenaraikan pasukan kuat di Anfield dengan The Reds berhasrat untuk mengungguli Kumpulan E dan layak ke pusingan 16 terakhir.
Penjaga gol Saint-Gilloise, Anthony Moris cemerlang apabila menafikan Mohamed Salah pada awal aksi, namun kesilapannya susulan percubaan Trent Alexander-Arnold membolehkan Ryan Gravenberch menampan masuk bagi gol pertamanya bersama Liverpool pada masa kecederaan babak pertama.
Klopp membawa masuk Alexis Mac Allister selepas rehat dan pemain itu bertembung dengan abangnya Kevin, yang bermula dalam kesebelasan utama buat kelab Belgium itu.
“Hari ini bapa saya ada di sini tetapi saya pasti setiap orang dalam keluarga kami menonton TV, jadi ia terlalu istimewa,” kata Mac Allister. “Saya rasa beliau (bapanya) menangis hari ini.”
Liverpool terpaksa menunggu masa kecederaan untuk memastikan tiga mata apabila Diogo Jota meluru untuk menghasilkan penyudah mengagumkan.
The Reds berkunjung ke Brighton bagi aksi Liga Perdana Inggeris Ahad ini dan The Seagulls mungkin turut keletihan selepas bekerja keras sebelum meraih satu mata di selatan Perancis.
Marseille bergelut setakat ini musim ini namun mereka mendahului 2-0 menerusi dua gol dalam tempoh dua minit pada pertengahan babak pertama.
Chancel Mbemba membantu kelab Perancis itu mendahului sebelum kesilapan kapten Brighton, Lewis Dunk membolehkan Jordan Veretout menjadikan kedudukan 2-0.
Brighton kelihatan akan kalah kali ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan, namun momentum mereka meningkat apabila Pascal Gross menyambut hantaran Kaoru Mitoma untuk mengurangkan defisit gol.
Joao Pedro kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Tariq Lamptey dijatuhkan dalam kotak penalti dua minit sebelum tamat untuk meletakkan Brighton hanya satu mata di belakang Marseille dan Ajax dalam Kumpulan B.
“Saya fikir kami tidak beraksi dengan baik, ia tempoh yang amat sukar buat kami ketika ini,” kata bos Brighton, Roberto De Zerbi.
“Untuk menamatkan separuh masa pertama pada kedudukan 2-0, tindak balas ini menakjubkan. Kerana itu saya amat gembira.”
West Ham turut berpeluang cerah mara ke pusingan 16 terakhir selepas melebarkan rekod tanpa kalah mereka di Eropah kepada 17 perlawanan.
“Ia satu pencapaian yang cemerlang, saya katakan kepada pemain kami perlu terus berjuang,” kata bos Hammers, David Moyes. “Memenangi perlawanan malam ini amat penting.”
Lucas Paqueta meletakkan juara Liga Konferens Europa itu di depan hanya selepas lapan minit menerusi tandukan padu sebelum Roland Sallai menyamakan kedudukan buat Freiburg pada awal babak kedua.
Bagaimanapun The Hammers tidak dapat dibendung apabila Nayef Aguerd menanduk masuk sepakan sudut James Ward-Prowse.
sumber:- BH
Dalam Liga Konferens Europa, Aston Villa memerlukan gol lewat sebelum mengatasi juara Bosnia, Zrinjski Mostar 1-0 dengan John McGinn menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-94. – AFP