sukan

Berita baik buat pemenang pingat Asia

Atlet negara yang memenangi pingat pada temasya Sukan Asia 2022 akan terus diperkasa bagi memastikan mereka dapat meningkatkan prestasi dan mampu menukar warna pingat mereka pada temasya Sukan Asia yang akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata mereka sedia mengkaji keperluan bantuan tambahan kepada beberapa sukan yang disifatkan menyerlah pada temasya di Hangzhou itu seperti skuasy, pelayaran, ekuestrian, terjun, berbasikal serta mana-mana atlet yang berjaya meraih pingat.

“Selepas balik nanti, kita akan kaji semua keputusan dan tengok bagaimana kita boleh perkasakan lagi pemenang pingat ini supaya dapat terus cemerlang.

“Pemenang gangsa boleh sasarkan perak, pemenang perak boleh sasarkan emas dan pemenang emas boleh kekalkan emas pada Sukan Asia akan datang.

“Kita kena tengok kewangan dahulu, bagaimana dapat membantu atlet mencapai pencapaian konsisten, kita tak mahu menang sekali tetapi selepas itu gagal,” katanya ketika ditemui di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou, semalam.

Setakat petang ini kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 27 pingat tanpa warna yang diletakkan apabila merangkul 28 pingat secara keseluruhan membabitkan lima pingat emas, enam pingat perak dan 17 pingat gangsa.

Skuasy muncul skuad paling cemerlang dengan tiga pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa disusuli pelayaran (satu emas, dua gangsa), ekuestrian (satu emas) dan terjun (satu perak, empat gangsa). Selain itu, e-sukan (satu perak, satu gangsa), wushu (satu perak), berbasikal trek (empat gangsa) dan olahraga (tiga gangsa).

Dalam perkembangan lain, Hannah sentiasa mengingatkan kepada barisan atlet supaya tidak terlalu memikirkan mengenai sasaran jumlah pingat yang diletakkan supaya tidak tertekan ketika turun beraksi.

sumber:- HM

“Saya ingatkan mereka supaya nikmati sahaja perlawanan mereka kerana apabila mereka menghayati permainan, mereka dapat pamerkan prestasi yang terbaik,” katanya.