sukan

AFC pandang serius Insiden di Bangkok

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memandang serius insiden di Bangkok, Thailand itu dengan mengingatkan setiap pasukan tuan rumah agar meningkatkan kawalan keselamatan bagi semua pihak terutamanya pasukan, pegawai dan penyokong pelawat yang bertandang ke venue lawan.

Ingatan itu diberikan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi Arena Metro yang mengakui terkejut dengan dua insiden yang berlaku sebelum dan selepas aksi antara BG Pathum United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Leo, di Bangkok, Thailand semalam.

Mengulas mengenai insiden penyokong JDT yang diserang sekumpulan penyokong tuan rumah selepas perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu, ia tidak sepatutnya berlaku dengan pihak tuan rumah perlu mengetatkan kawalan keselamatan.

“SOP (prosedur operasi standard) biasa apabila berlakunya insiden serangan penyokong adalah kita (AFC) akan menunggu laporan daripada pihak pegawai perlawanan dari sana, kemudian kita akan bawa ia ke Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan lanjut.

“Sudah semestinya mana-mana pasukan tuan rumah perlu pastikan keselamatan semua orang yang hadir ke stadium dalam keadaan selamat.

“Lebih-lebih lagi keselamatan perlu diketatkan untuk pasukan pelawat dan penyokong pelawat yang datang juga. Saya ingatkan dan nasihatkan agar setiap pasukan yang menjadi tuan rumah ataupun yang bukan tuan rumah, agar sentiasa menitikberatkan soal keselamatan supaya tidak berlaku insiden yang tidak diingini,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Ujarnya lagi, situasi bahaya dilalui pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarganya turut mendapat perhatian Windsor yang akan meneliti isu terbabit.

“Saya belum dapat laporan mengenai perkara itu, tapi kita memang serius tak benarkan perkara seperti itu berlaku. Macam saya katakan tadi, keselamatan setiap orang termasuk pegawai pasukan perlu diketatkan,” katanya.

Dalam dua insiden berbeza itu, penyokong JDT yang digelar ‘Boys Of Straits’ atau singkatannya ‘BOS’ diserang oleh sekumpulan penyokong tuan rumah yang tidak dikenali hingga berlakunya insiden tumbuk menumbuk dan balingan mercun.

Berdasarkan satu video yang tular di laman sosial, penyokong JDT sedang berjalan di luar pekarangan Stadium Leo yang juga venue kelab BG Pathum United namun secara tiba-tiba kumpulan penyokong Harimau Selatan itu diserang.

Manakala beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan berkenaan, Tunku Ismail dan keluarganya berdepan detik cemas apabila berdepan situasi tegang berhampiran hotel penginapannya.

Ia susulan berlaku insiden tembakan di pusat membelah Siam Paragon Mall yang berhampiran dengan hotel penginapan keluarga Tunku Ismail, yang ketika itu sudah berada di lobi untuk berangkat ke venue perlawanan bagi menyaksikan aksi JDT dan BG Pathum United.

Bagaimanapun, Tunku Ismail terpaksa melupakan hasrat menonton aksi itu apabila di bawa terus ke kedutaaan bagi melindungi keselamatan keluarganya.

sumber:- HM

Dalam aksi terbabit, JDT melakar kemenangan 4-2 mengatasi skuad The Rabbits itu sekali gus menghadiahkan tiga mata maksimum buat pelawat dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu.