sukan

Zii Jia sahut cabaran Juara Dunia

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memerlukan persembahan lebih kemas untuk mengatasi pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi Kunlavut ketika menentang pemain nombor 104 dunia dari Vietnam, Nguyen Hai Dan di pusingan kedua Sukan Asia Hangzhou hari ini, Zii Jia mungkin mempunyai peluang yang baik.

Zii Jia, 25, akan berdepan Kunlavut di pusingan ketiga esok selepas mudah mengatasi cabaran pemain Timor Leste, Mourinho Gusmao de Jesus.

Selepas menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dalam tiga set pada pusingan pertama, Isnin lalu, Zii Jia meneruskan rentak di pusingan kedua apabila menewaskan Mourinho 21-0, 21-7 hari ini.

Kini, bekas juara Asia itu sudah bersedia untuk berdepan Kunlavut yang juga penyandang juara dunia.

“Kunlavut adalah juara dunia tahun ini. Ia akan menjadi cabaran besar buat saya, kerana prestasi semasa saya tidak begitu konsisten.

“Semua orang tahu dia (Kunlavut) adalah pemain yang memiliki corak bertahan yang mantap, saya mesti bersabar apabila bermain dengannya,” kata Zii Jia.

Kunlavut yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama diheret ke set penentuan oleh Hai Dan sebelum menang 17-21, 21-18, 21-15.

Terdahulu, bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei turut mengesahkan tempat ke pusingan ketiga.

sumber:- BH

Jin Wei menewaskan pemain Vietnam, Vu Thi Anh Thu 21-10, 21-13 pada pusingan kedua dan akan menentang pilihan kelima, Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.