“Memang ada masalah, tapi saya tak boleh nyatakan di sini, namun pihak pengurusan sedang dalam proses untuk memperbaiki keadaan,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan.
Beliau mengulas mengenai situasi terbaru yang melanda skuad Hobin Jang Hobin berkaitan dakwaan bahawa pemain pasukan itu belum menerima gaji dua bulan iaitu Ogos dan September.
Pengendali berpengalaman itu berkata, pihaknya yakin dan percaya pengurusan kelab berkenaan sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah terbabit.
“Ini (NSFC) adalah pasukan Negeri Sembilan dan bukan pasukan saya atau individu sesiapa”.
“Jadi, semua pihak kena bertanggungjawab untuk menjaga nama baik dan kepentingan pasukan.
“Sebagai jurulatih, saya akan bertugas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang yang profesional,” katanya hari ini.
Negeri Sembilan dikhabarkan pasukan terbaharu yang mengalami tunggakan gaji sejak dua bulan lalu membabitkan pembayaran bagi bulan Ogos dan September.
sumber:- BH
Sumber pasukan itu mengakui prestasi merudum NSFC ketika ini disebabkan oleh kelewatan pembayaran gaji dan akibatnya mereka tewas kepada Perak FC 0-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad lalu.