sukan

Kedah hidupkan peluang untuk cabar gelaran

Kedah Darul Aman (KDA) terus menghidupkan peluang mereka untuk mencabar gelaran naib juara Liga Super apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Sang Kenari yang membawa misi besar untuk mencuri tiga mata penting melakukan asakan bertali arus ke kubu KL City, namun gagal menemui jaringan selain penjaga gol City Boys, Azri Ghani bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

Usaha keras anak buah Nafuzi Zain akhirnya berbaloi apabila mereka diberikan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama selepas Fadzrul Danel Mohd Nizam dijatuhkan Nazirul Naim Che Hashim dan peluang itu tidak disia-siakan Ifedayo Olusegun untuk meletakkan KDA di hadapan.

Pengendali KL City, Nenad Bacina kemudian bertindak melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua termasuk membawa masuk kapten, Paulo Josue namun tetap gagal memecah kebuntuan jaringan hingga tamat permainan.

Kemenangan itu menyaksikan KDA mengumpul 47 mata selepas mengharungi 22 perlawanan, lima mata di belakang pasukan tangga kedua, Selangor.

sumber:- BH

Berbaki empat perlawanan lagi, Sang Kenari bagaimanapun masih kekurangan satu perlawanan berbanding Gergasi Merah yang sudah beraksi 23 perlawanan.