sukan

Aksi Panas Sekali Lagi

Selepas aksi ‘panas’ dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad lalu, Terengganu dan Selangor akan berentap lagi bagi saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Anak buah Tomislav Steinbruckner memiliki motivasi terbaik selepas melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia selain mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 12 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

Skuad Penyu juga mempunyai rekod yang baik di laman sendiri berdepan Gergasi Merah apabila kali terakhir mereka tewas kepada kelab Lembah Klang itu di Kuala Terengganu dalam saingan Piala FA pada 2018.

Keadaan itu menyaksikan Selangor membawa misi besar kerana selain mahu menamatkan kemarau lima tahun tidak menang di ‘rumah’ Terengganu, anak buah Tan Cheng Hoe juga pasti mahu menebus kekecewaan disingkirkan skuad Penyu dari Piala Malaysia musim ini.

Malah, Gergasi Merah tidak boleh tercicir mata penting dalam perlawanan itu bagi mempertahankan kedudukan di tangga kedua Liga Super dan mencapai sasaran layak ke pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

Berbeza lima mata dengan pasukan tangga ketiga, Kedah Darul Aman (KDA), Selangor boleh berada dalam bahaya seandainya tewas kepada Terengganu ketika saingan liga musim ini hanya berbaki empat perlawanan.

Ia kerana KDA yang kini mengumpul 44 mata masih berpeluang cerah untuk memintas Selangor apabila Sang Kenari masih kurang satu perlawanan berbanding Gergasi Merah yang sudah beraksi 22 perlawanan dalam liga.

Situasi lebih sukar buat Selangor apabila terlepas khidmat tonggak pertahanan, Yazan Al Arab yang digantung perlawanan susulan kad merah yang diterima ketika suku akhir kedua Piala Malaysia.

Bagaimanapun, kem Selangor mungkin boleh menarik nafas lega apabila lima pemain Terengganu termasuk Sony Norde, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, Ivan Mamut dan Sardor Kulmatov dilaporkan mengalami kecederaan dan masalah kesihatan.

Sementara itu, satu lagi pasukan yang kecewa tersingkir di suku akhir Piala Malaysia, Sabah turut membawa misi mencari ‘penawar’ di gelanggang lawan apabila akan berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menghuni tangga keempat liga ketika ini bagaimanapun dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Kelantan yang sedang bergelut dengan masalah prestasi buruk.

sumber:- BH

Kelantan yang mengalami kekalahan besar dalam empat perlawanan terakhir mereka termasuk aksi Piala Cabaran, Piala Malaysia dan Liga Super mungkin menjadi mangsa lepas geram Sang Badak di Kota Bharu.