sukan

Tugas getir TFC

Tugas getir menanti Terengganu FC (TFC) berdepan Selangor FC selepas lima pemain tonggaknya tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ menjelaskan, tiga daripada lima pemainnya mengalami kecederaan manakala dua lagi demam.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Croatia itu enggan menjadikannya sebagai alasan, sebaliknya beliau bakal menerapkan strategi lebih ampuh dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah selepas kali terakhir tewas pada Jun lalu.

“Tiga pemain iaitu Sony Norde, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob mengalami kecederaan manakala penyerang import, Ivan Mamut dan pertahanan, Sardor Kulmatov mengalami demam.

“Justeru saya tiada pilihan selain bakal menyenaraikan beberapa pemain lain bagi memastikan impian pasukan untuk meneruskan rentak kemenangan dapat dicapai.

“Saya harap pemain yang diturunkan nanti mampu menggalas tugas dengan lebih berkesan, lagipun semua tahu lawan (Selangor FC) mereka bakal tampil dengan semangat juang yang tinggi untuk menebus kekalahan dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.

“Satu lagi saya turut mengharapkan ‘pemain ke-12’ dapat membanjiri stadium bagi menaikkan lagi semangat para pemain beraksi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada TFC,” katanya.

Pada aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, skuad Penyu terpaksa akur tewas 1-5 di tangan Gergasi Merah itu, namun pada aksi suku akhir pertama dan kedua Piala Malaysia, TFC berjaya merakam kemenangan 2-0 di laman sendiri dan terikat 1-1 di tempat lawan.

sumber:- HM

Perlawanan malam esok dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan kali ketiga dalam masa dua minggu termasuk suku akhir Piala Malaysia.