sukan

‘Half space’ juga mereka mampu jaringkan gol

Pengendali PDRM FC, Datuk Yunus Alif menzahirkan ucapan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pasukan itu muncul juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Meskipun tewas 0-4 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi, tapi Yunus tetap berbangga dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya terutama pemain muda yang mempunyai masa depan yang cerah dan hanya kesilapan menjadi punca pemainnya hilang konsentrasi.

“Tahniah kepada JDT kerana mereka sangat hebat dan gol yang rapat buatkan kami hilang konsentrasi. Saya sudah pesan kepada pemain jangan bagi ruang kepada penyerang JDT kerana dengan ‘half space’ juga mereka mampu jaringkan gol.

“Pemain muda yang ada dalam skuad PDRM FC ini boleh pergi lebih jauh kalau diasah lebih baik selepas ini dan ketiadaan tiga pemain import yang mengalami kecederaan dan penggantungan menjejaskan rentak permainan kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Yunus turut mengakui bahawa penyerangnya, Hadi Fayyadh sebenarnya mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan dan dia juga memberikan kredit buat pemainnya yang dapat mengasak kubu JDT meskipun sukar.

“Bukan mudah untuk halang JDT di tempat sendiri dan kami juga berjaya mengasak mereka. Saya perlu berikan kredit kepada pemain saya atas usaha mereka ini.

“Hadi Fayyadh mengalami kecederaan dan kami terpaksa keluarkan dia kerana dia sudah tidak mampu menampung asakan Corbin Ong ketika itu,” jelasnya.

sumber:- HM

PDRM kini akan kembali fokus kepada baki enam perlawanan liga selain perlawanan kedua Piala Cabaran menentang KL Rovers dan Yunus mahu sepenuh tumpuan diberikan kepada setiap perlawanan.