sukan

Bergson akui terkejut dengan tindakan Jurulatih

Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva menepis tanggapan sesetengah pihak betapa dirinya bersikap `tamak’ dan hanya mahu mengejar nama untuk muncul penjaring dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Dia yang mencetak 100 gol sejak menyertai skuad Harimau Selatan pada musim 2021 menegaskan betapa kerjasama berpasukan adalah kunci utama bagi memastikan pasukan itu mencipta kemenangan dalam aksi Liga Malaysia (Liga M).

“Sebelum datang ke sini saya adalah Bergson dan lebih bersikap individualistik. Tapi pemain di sini jadikan saya pemain yang lebih baik dan jadikan saya pemain berpasukan dan senario itu mengubah corak permainan saya sekarang.

“Kini saya tidak kisah siapa yang jaringkan gol. Seperti dalam perlawanan ini, saya serahkan penalti kepada Arif Aiman untuk berikan dia semangat dan saya bangga dengan perjalanan saya di sini dan akan terus membantu JDT dalam aksi seterusnya,” katanya.

Ditanya mengenai statusnya selaku kapten dalam perlawanan menentang PDRM FC yang berkesudahan JDT menang 4-0 sekali gus muncul juara Liga Super 10 musim berturut-turut, pemain kelahiran Brazil itu mengakui terkejut apabila ketua jurulatih, Esteban Solari menyerahkan lilitan kapten kepadanya.

“Saya tidak tahu saya dipilih sebagai kapten dan saya cuba lakukan yang terbaik untuk rakan sepasukan dengan membantu mereka semasa latihan dan juga ketika di dalam padang dan ini adalah hasilnya apabila kami berjaya memenangi kejuaraan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bergson juga berharap rakan sepasukan terus berusaha bagi menghadapi pelbagai lagi cabaran serta dia mahu terus membanggakan penyokong skuad Harimau Selatan yang sentiasa ada dibelakang pasukan itu.

“Kami berikan segalanya dalam setiap permainan dan masih perlu mendorong diri kami untuk pastikan penyokong kami bangga dengan pasukan ini dan untuk perlawanan ini apa yang penting kami menang dan meraih kejuaraan, ini lebih penting,” katanya.

sumber:- HM

Dia juga tidak mempunyai sasaran gol peribadi tetapi dia gembira kerana berjaya menjadi penjaring terbanyak buat kelab dan akan terus berusaha untuk menjaringkan lebih banyak gol untuk membantu JDT terus mencipta kejayaan.