Tonggak pertahanan Terengganu FC, Argzim Redzovic bakal memberi pilihan tambahan buat skuad Harimau Malaysia apabila dia kini di peringkat akhir bagi menyelesaikan proses naturalisasinya.
Pemain berasal dari Montenegro berusia 31 tahun itu, berkata dia kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meluluskan permohonannya untuk menjadi warga negara Malaysia.
“Proses naturalisasi saya masih lagi tertangguh dan kita sedang menunggu keputusan dari Putrajaya selain Terengganu masih lagi berbincang dengan KDN.
“Kalau ada rezeki tahun depan berjaya ia adalah satu berita baik untuk Terengganu dan saya sendiri jadi saya harap satu hari nanti selepas penantian selama tujuh tahun akan berbuahkan hasil,” katanya.
Sebagai rekod, Redzovic sudah hampir enam tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula dengan pasukan PDRM FC pada 2018 sehingga 2019 sebelum menyertai Terengganu sehingga kini.
Perkara itu menyaksikan dia memenuhi syarat kelayakan untuk ‘dinaturalisasikan’ selepas sudah beraksi dalam saingan Liga M selama lima tahun berturut-turut.
sumber:- BH
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaimanapun sudah menghentikan program naturalisasi pemain profesional bagi memberi peluang pemain tempatan membarisi skuad kebangsaan tetapi tidak menghalang kelab ataupun negeri meneruskan program berkenaan.