sukan

Alasan disebalik kekalahan

Hougang United FC mengakui pemainnya kurang bersedia untuk berdepan situasi perlawanan dalam keadaan cuaca dan padang yang tidak memuaskan disebabkan hujan sepanjang permainan.

Pengendalinya, Marko Kraljevic berkata, keadaan itu antara sebab anak buahnya gagal menyaingi pemain Sabah FC dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H, Piala AFC bertemu Sabah FC yang berakhir dengan kekalahan 3-1 pasukannya di Stadium Likas, malam tadi.

Sebaliknya, beliau menyifatkan keadaan cuaca dan padang ketika perlawanan dalam suasana hujan yang agak lebat itu memberi kelebihan kepada pemain Sabah untuk mencapai sasaran mereka memenangi permainan itu.

“Pemain Sabah memang sudah biasa dengan keadaan ini..bola tinggi, bola jauh atau apa sekalipun, itu memang kelebihan mereka, mereka mendominasi di sini dan keadaan cuaca (hujan) ini memang sesuai dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, Sabah mendahului menerusi Gabriel Peres seawal minit kelima, disusuli dua lagi gol Darren Lok pada minit ke-38 dan ke-62, manakala gol tunggal Hougang dijaringkan Takayama Kazuma pada minit ke-61.

Kraljevic juga mengakui, perancangan pasukannya untuk membina permainan yang mantap bermula pada awal perlawanan tidak menjadi disebabkan tekanan bertali arus diberikan pasukan tuan rumah.

“Pada awal perlawanan kita cuba membina permainan untuk berdepan pemain Sabah dengan baik tetapi terlalu banyak tekanan.

sumber:- HM

“Ketika mendapat gol pada babak kedua pula, kita berharap ia dapat mengembalikan usaha kita untuk bangkit dalam permainan tetapi malangnya Sabah mendapat gol ketiga mereka tidak lama selepas jaringan kita,” katanya.