sukan

Kesilapan punca Manchester United rebah lagi

Penjaga gol Manchester United, Andre Onana berkata dia mengecewakan rakan sepasukan selepas satu kesilapannya menyebabkan mereka tewas 4-3 aksi Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich.

Kekalahan ketiga berturut-turut mencetus tekanan buat pengurus United, Erik ten Hag dan dua gol lewat Casemiro membuktikan jurang antara kedua-dua pasukan di Arena Allianz awal pagi tadi.

Bagaimanapun, United bermula cemerlang hinggalah percubaan lemah Leroy Sane terlepas daripada genggaman Onana pada minit ke-28.

“Selepas kesilapan saya, kami hilang kawalan permainan. Ia situasi sukar buat kami, bagi saya terutamanya kerana saya yang mengecewakan pasukan,” kata Onana kepada TNT Sports.

Pemain Cameroon itu menyerlah bersama Inter Milan dalam laluan mereka ke final Liga Juara-Juara musim lalu, tetapi bergelut dalam beberapa minggu awal karier di United sejak berpindah dengan harga £47 juta (RM271 juta).

The Red Devils kini dibolosi tiga atau lebih gol dalam tiga perlawanan berturut-turut buat kali pertama sejak tahun 1978.

“Permulaan saya di Manchester tidak terlalu bagus, ia bukan seperti yang saya mahukan,” kata Onana.

“Hari ini satu daripada perlawanan terburuk saya dan ia sukar kerana kami mempunyai impian besar, kami mahu menang segala-galanya – ia satu peluang besar buat kami untuk bangkit selepas situasi yang kami hadapi.

“Ia satu masa yang sukar. Kami perlu bersatu dan belajar daripada kesilapan kerana ia satu-satunya perkara yang perlu dilakukan.”

sumber:- BH

United kini kalah empat daripada enam perlawanan pertama mereka pada awal musim buat kali pertama dalam tempoh 37 tahun. – AFP