Hougang United FC mengakui berdepan suasana baharu bermain di padang rumput sebenar dalam aksi Piala AFC menentang Sabah FC di Stadium Likas, esok.
Pengendalinya, Marko Kraljevic, berkata suasana padang di Singapura berbeza memandangkan mereka hanya bermain di padang rumput tiruan berbanding di Sabah yang bermain di padang rumput sebenar.
Katanya, situasi itu mungkin satu kesukaran yang terpaksa dihadapi pasukannya dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H itu.
“Mungkin juga nanti, apabila Sabah FC ke Singapura, ia juga satu kesukaran bagi mereka apabila bermain di padang tiruan,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan itu hari ini.
Sementara itu, Kraljevic yang pernah membimbing pasukan Kelantan pada 2019 menyifatkan kehadirannya ke Malaysia, kali ini sebagai sesuatu yang menarik.
“Gembira dapat kembali ke Malaysia dan bermain melawan pasukan Sabah FC. Bagi saya ia satu perlawanan yang baik untuk kelab bola sepak kedua-dua negara dan kita berharap semua ‘enjoy’ dengan permainan esok,” katanya.
sumber:- BH
Mengulas mengenai persiapan pasukannya, Kraljevic berharap pasukannya mampu memberi tentangan walaupun prestasi mereka dalam saingan Liga Singapura kurang memberangsangkan.