sukan

Mahu jadi macam Arif Aiman

Sa’ap Baharom berjanji akan memanfaatkan sepenuhnya peluang menyertai Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengejar cita-cita sebagai pemain bola sepak profesional.

Sa’ap, 12, mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila muncul kanak-kanak Orang Asli suku kaum Bateq pertama dilamar Akademi JDT, seterusnya menjadi pemain profesional di bawah bimbingan jurulatih Diego Griffa.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi itu berkata, dia akan berangkat ke Johor esok selepas mengikat kontrak tiga tahun bersama akademi berkenaan.

“Saya minat bermain bola sepak seawal usia tujuh tahun sehinggalah guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi mengesan bakat serta membawa saya menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Gua Musang dan peringkat negeri.

“Saya terkejut dan berasa seperti bermimpi apabila Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia Johor Darul Takzim (JDT), Diego Griffa bersama rombongan sanggup datang ke Kampung Aring 5 serta memberikan tawaran untuk menyertai Akademi JDT,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sa’ap memberitahu, pada masa sama dia tekad mengubah masa depan keluarga dengan menjadikan bola sepak sebagai mata pencarian utama selepas ini selain membanggakan suku kaum Bateq.

Katanya, suatu hari nanti dia mengimpikan untuk menjadi pemain terbaik seperti bintang sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia Johor Darul Takzim (JDT), Diego Griffa terpaksa bermandi ‘peluh’ selama empat jam memujuk serta melamar permata dari masyarakat Orang Asli, Sa’ap Baharom untuk skuad akademi Harimau Selatan.

Usaha itu turut dibantu oleh kemahiran ‘memujuk’ yang dimiliki oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin bersama Tok Batin di Perkambung Orang Asli Felda Aring 5.

Bagaimanapun, segala kepenatan menempuh laluan berbatu dan tanah merah lebih 30 minit dari Cabang Felda Aring 5 ‘hilang’ sejurus Sa’ap bersetuju untuk menerima tawaran daripada pasukan Harimau Selatan itu.

Sementara itu, Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, dia dan seluruh penduduk suku kaum Bateq berbangga dengan pencapaian Sa’ap.

Katanya, Sa’ap adalah wakil pertama suku kaum Bateq yang menjadi pilihan untuk bermain dengan kelab bola sepak profesional.

“Saya harap kisah kejayaan Sa’ap ini dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak Orang Asli yang lain dan kami sentiasa mendoakan kecemerlangannya.

“Saya berharap lebih ramai suku kaum Bateq yang akan terpilih kerana saya percaya masih ramai yang mempunyai bakat yang tersembunyi,” katanya.