Aidil Sharin ‘hukum’ Kedah

Kuching City FC membuatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC terkedu selepas berjaya mengejutkan pasukan lawan 1-0 pada suku akhir pertama Piala Cabaran 2023 di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Keputusan ini menyaksikan tuan rumah yang kini dibimbing Aidil Sharin Sahak berjaya mengecewakan bekas pasukannya sekali gus memaksa Kedah untuk bangkit pada aksi kedua di laman sendiri, bulan depan.

Apapun, bekalan tipis itu mungkin boleh melegakan sedikit Kedah namun peluang masih terbuka bagi kedua-dua pasukan memburu tiket ke separuh akhir Piala Cabaran musim ini.

Sebagai rekod, pemenang pertembungan ini akan menentang pemenang antara Kelantan United dan Kelantan FC di separuh akhir dengan Kelantan United ketika ini mendahului agregat 7-0.

Pada aksi terbabit, Kedah tampak bergelut untuk memecah benteng tuan rumah dengan Kuching City berjaya menghalang pelawat daripada melancarkan percubaan berbahaya bagi mendapatkan gol pembukaan.

Kuching City mendapat peluang terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-37 namun hantaran lintang Jimmy Raymond daripada sebelah sayap kanan gagal ditampan kemas Abu Kamara di hadapan pintu gol Kedah.

Tandukan pemain sayap Kedah, Manuel Hidalgo pada hujung babak pertama terkena palang untuk kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama di Stadium Negeri.

Bersambung babak kedua, Kuching City beraksi lebih kemas dan banyak mengasak pelawat sebelum Petrus Shitembi gagal menyudahkan bola ke dalam gawang ketika sudahpun berjaya menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-59.

sumber:- BH

Gol pembukaan akhirnya muncul pada minit ke-84 yang menjadi gol kemenangan buat Kuching City selepas rembatan Kamara menewaskan Ifwat Akmal untuk menjadikan kedudukan 1-0 buat tuan rumah.