Kepakaran asing dijangka mengisi jawatan Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang sudah kosong hampir setahun selepas penyandangnya, Dennis Bekking menyertai Selangor FC (SFC), tahun lalu.
Menurut sumber, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah memiliki beberapa nama untuk mengisi kekosongan terbabit dengan berkemungkinan besar pakar dari Denmark akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal AMD yang baharu.
“Proses pengambilan pengarah teknikal perlu dipercepatkan kerana terdapat keperluan untuk individu yang menyandang jawatan itu menyelaraskan program di bawah bidang kuasa AMD.
“Saya tidak pasti bila individu berkenaan akan dilantik namun terdapat desas-desus mungkin bulan depan akan mula bertugas di AMD,” katanya.
Sebagai rekod, AMD adalah akademi bola sepak elit khusus bagi pembangunan pemain muda yang mula ditubuhkan pada 2014 sebagai sebahagian daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Objektifnya ialah membawa dimensi baharu dalam bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa dan dibangunkan sebagai ekosistem dan pusat kecemerlangan sukan kepada pelajar dari seluruh negara.
Pada 2020, AMD menerima penarafan dua bintang di bawah Skim Belia Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan FAM diberikan status keahlian penuh skim terbabit.
Skim Belia Elit AFC adalah langkah utama dalam pembangunan bakat yang akan membantu ahli gabungan AFC untuk mengembangkan lagi program peringkat belia di negara masing-masing.
sumber:-BH
Antara kriteria yang akan dinilai termasuk staf, perancangan, pertandingan, kejurulatihan, pencarian bakat, perkhidmatan perubatan, sains sukan, pendidikan dan kebajikan, kemudahan, falsafah serta akademi.