sukan

Selangor dalam keresahan

Persiapan serba kekurangan selepas 12 tonggak terlibat tugasan antarabangsa memeningkan pe­­ngendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe apabila menentang Terengganu FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia malam ini.

Enam pemain Red Giants beraksi untuk skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam kelayakan Piala Asia B-23, empat lagi bersama Harimau Malaya dalam aksi persahabatan menentang Syria serta China di Chengdu, manakala dua pemain dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe boleh menarik nafas lega ­kesemua pemain kembali dalam keadaan baik tanpa kecederaan kecuali dua pemain Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan Yazan Al-Arab yang keletihan kerana baru tiba kelmarin.

“Persiapan bukan dalam fasa terbaik, 12 pemain ada tugasan antarabangsa. ­Situasi itu memang menjejaskan tetapi ia bukan alasan untuk kami tidak beraksi baik berdepan Terengganu.

“Semua pemain sempat berkumpul semalam kecuali dua pemain jordan masih tidak bersama pasukan.

“Ini bukan situasi yang baik tetapi saya gembira mereka tidak mengalami sebarang kecede­raan, dan saya harap semua pemain bersedia diturunkan.

“Barisan kejurulatihan akan menilai keadaan Noor dan Yazan terlebih dahulu sebelum buat keputusan, kita akan bawa kedua-dua pemain ini ke Terengganu dan mungkin akan diletakkan di bangku simpanan,” katanya .

Selain itu katanya, skuad kendaliannya perlu perlu berwaspada kerana Terengganu ketika ini berada pada prestasi terbaik dalam enam perlawanan terakhir mereka selain rekod pertemuan kedua-dua pasukan juga tidak berpihak kepada Selangor FC khususnya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Memang Terengganu sekarang dalam keadaan baik, jentera serangan mereka mula mempamerkan bisa menerusi gandingan Sony Norde dan Ivan Mamut selain jentera tengah yang dikemudi Habib Harun dan benteng yang dikawal Shahrul Nizam. Jadi, kita kena bijak menggunakan peluang yang ada dalam pertembungan malam ini,” katanya.