Adakah bekas pengurus Selangor, Datuk Abd Rauf Ahmad bakal kembali berkecimpung dalam arena bola sepak dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi destinasi terbaharunya?
Persoalan mula timbul selepas Rauf dilihat bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menyaksikan sesi latihan skuad Bawah 23 tahun (B-23) di Chonburi, Thailand.
Turut berada dalam gambar terbabit selain Hamidin dan Rauf adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram dan EXCO FAM merangkap pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Ketika ini, skuad B-23 berdepan pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dan bakal berentap dengan Thailand bagi merebut gelaran juara kumpulan di Stadium Chonburi, malam ini.
Sebagai rekod, Abd Rauf bukanlah individu asing dalam kancah bola sepak tempatan khususnya Selangor memandangkan dia pernah memegang jawatan pengurus Selangor sejak 2017 selain bekas pemain skuad Piala Dunia Remaja 1997.
Selain itu, beliau pernah menjadi tonggak pertahanan Selangor di peringkat B-15, B-17 dan B-19 bermula 1992 hingga 1997.
sumber:- BH
Abd Rauf juga berjaya membawa Selangor ke pentas final Piala FA 2018 selain menjadi Pengerusi Jawatankuasa Media Selangor dan Naib Presiden Presiden Bolasepak Selangor (FAS) bagi penggal 2018-2021.