Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik mendedahkan dia mengalami demam panas lewat malam tadi sekali gus menjejaskan prestasinya ketika final Terbuka China di Changzhou, hari ini.
Wooi Yik dan pasangannya, Aaron Chia beraksi di bawah tahap sebenar apabila tumbang di tangan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21 dalam pertarungan singkat 26 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.
Mereka bagai dipukau apabila gagal memberi tentangan selain sering melakukan kesilapan yang memberi mata mudah kepada pasangan tuan rumah yang menduduki ranking ketiga dunia.
Selepas tewas 12-21 pada set pertama, beregu negara yang menduduki ranking keempat dunia gagal bangkit pada set kedua apabila ketinggalan 0-7 sebelum memperbaiki permainan tetapi sudah terlewat.
Susulan kekalahan itu, Wooi Yik menerusi laman Instagram miliknya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan memberitahu dia mengalami demam panas lewat malam tadi.
“Pertama sekali saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang menonton perlawanan kami, secara jujurnya saya secara tiba-tiba mengalami demam panas lewat malam tadi.
“Saya berasa amat tidak berdaya dan bertanya mengapa Tuhan melakukannya ke atas diri saya pada detik penting ini.
“Ini bukanlah Wooi Yik yang sebenar dan ini bukan perwatakan saya. Saya memberitahu diri saya untuk terus berjuang dan buat yang terbaik tetapi keadaan saya amat teruk dan tidak berdaya di gelanggang,” kata Wooi Yik.
Pemain itu turut mengakui rasa bersalah terhadap Aaron disebabkan keadaan yang menimpa dirinya.
“Saya sedia menanggung semua kesalahan ini kerana saya rasa bersalah dengan Aaron. Saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini.
“Hanya satu yang bermain di fikiran saya sekarang, saya akan merangkul gelaran juara suatu hari nanti,” katanya.
sumber:- BH
Selepas ini, Aaron-Wooi Yik akan beraksi pada Terbuka Hong Kong bermula Selasa ini dan akan menentang rakan sepasukan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei pada pusingan pertama.