sukan

Hanya kemenangan tidak sia-siakan dua kemenangan berturut-turut Malaysia

Dua kemenangan berturut-turut dilakar skuad Bawah 23 tahun (B-23) bagi aksi Kelayakan Piala Asia B-23 jelas membakar semangat pemain sebelum membuat perhitungan pada aksi terakhir berdepan Thailand, Selasa ini.

Ketika ini, Malaysia dan Thailand berkongsi enam mata dalam Kumpulan H namun Thailand berada pada slot automatik ke pusingan akhir apabila mendahului kumpulan menerusi perbezaan jaringan.

Penyerang negara, T Saravanan mengakui rakan sepasukannya perlu tampil dengan aksi yang lebih baik bagi menentang Thailand memandangkan tuan rumah bakal menyajikan tentangan yang jauh berbeza berbanding Bangladesh dan Filipina.

“Kita meraih keputusan positif ke atas Filipina tetapi kita harus beraksi dengan lebih baik bagi meraih kemenangan ke atas Thailand nanti.

“Kita perlu mengutip tiga mata untuk layak ke pusingan akhir. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada pemain,” kata Saravanan.

Terdahulu, pemain KL City FC itu menyumbang dua gol ketika membantu skuad negara membelasah Filipina 4-0 pada aksi kedua di Stadium Chonburi, semalam.

Selain meledak enam gol dalam dua aksi, skuad bimbingan E Elavarasan itu juga belum dibolosi setakat ini, begitu juga Thailand yang turut mencatat pencapaian sama.

sumber:- BH

Sebagai rekod, hanya 11 juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.