sukan

Pan Gon sedia roboh Tembok Besar

Selepas mempamerkan persembahan positif ketika berdepan Syria, skuad Harimau Malaya kini memasang hasrat untuk mencipta kemenangan ke atas pasukan ranking ke-80 dunia, China.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan berdepan China dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, esok.

Kelmarin, Harimau Malaya berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria yang menghuni kedudukan 94 dunia dengan keputusan 2-2 ketika aksi persahabatan di Stadium East-Town Football Park, Chengdu.

Pada perlawanan itu, dua gol jaringan dua pemain simpanan Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Darren Lok masing-masing dalam separuh masa kedua, menafikan harapan Syria.

Pasukan berkenaan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mardek Mrdkian dan Yasin Alsamya.

Pan Gon mengakui bangga dengan persembahan barisan pemainnya yang berjuang hingga ke wisel penamat untuk meraih keputusan positif walaupun ketinggalan dua gol pada babak pertama.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan keputusan berdepan Syria sangat penting buat Harimau Malaya mendapatkan keyakinan berdepan pasukan di ranking lebih tinggi.

“Secara umumnya persembahan kami sangat bagus, kami setaraf untuk bersaing dengan pasukan ranking 94 dunia. Mungkin hanya dua kesilapan yang menghukum kami.

“Namun, pada babak kedua kami menunjukkan kepada rakyat Malaysia mentaliti dan atitud Harimau Malaya untuk mengejar semula permainan dan berjuang hingga tamat perlawanan.

“Sekarang kami mahu menguji taktikal dengan pasukan di ranking ke-80 dunia. Kami mahu tahu di mana kami berada, jadi kami akan terus bermain secara menyerang.

“Saya fikir karakter permainan kami harus agresif, memberi cabaran dan melakukan semuanya dengan terbaik. Kami akan cuba untuk menang dan mendapatkan keputusan terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Aksi persahabatan di Chengdu itu menjadi medan persiapan Harimau Malaya dalam membentuk skuad mantap bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar, awal tahun depan.

sumber:- BH

Selepas aksi persahabatan itu, Harimau Malaya akan mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka di Kuala Lumpur, bulan depan yang turut disertai India, Palestin dan Tajikistan.