sukan

Komen penyelamat Malaysia selepas dimasukkan Separuh masa kedua

Tonggak gantian yang kemudiannya muncul penyelamat, Akhyar Rashid mahu pasukan mengekalkan momentum dan konsistensi selepas ini.

Jelas pemain lincah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, dia lega apabila pasukan negara berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Syria 2-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu, China petang semalam.

Akhyar, 24, yang masuk pada awal babak kedua nyata membawa impak yang diharapkan dengan berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan yang tiada jawapan untuk mengekang gerakannya.

Malah, Akhyar sendiri turut meledak satu gol pada minit ke-51 sebelum seorang lagi tonggak gantian, Darren Lok menjaringkan gol penyamaan di minit 85.

Kedua-dua gol itu memadamkan kelebihan negara Asia Barat itu yang terlebih dulu di depan menerusi Mardik Mardikian (m-12) dan Yassin Samia (m-41).

“Syukur Alhamdulillah perlawanan petang tadi (semalam) dapat ‘comeback’ 2-2. Harap kita dapat kekalkan momentum ini untuk perlawanan akan datang,” kata pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Ujar adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu lagi, dia turut menghamburkan pujian buat rakan-rakan berdasarkan penampilan mereka sepanjang tempoh 90 minit permainan.

Apatah lagi, keputusan positif hadir selepas berjaya menghadirkan tentangan sengit kepada pasukan yang berada di ranking ke-94 dunia.

sumber:- HM

Malaysia selepas ini akan meneruskan aksi persahabatan menentang China Sabtu ini.