sukan

Disebalik Kejayaan Malaysia, Timbul isu tidak enak

Kejayaan mengikat pasukan Syria di tangga 94 dunia dengan keputusan 2-2 semalam sememangnya mendapat pujian melangit peminat bola sepak tanahair yang terpegun dengan penguasaan menyeluruh skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan itu.

Namun timbul sedikit persoalan di kalangan penyokong yang mempersoalkan venue aksi antara kedua-dua pasukan yang berlangsung di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu, China petang semalam.

Ketika perlawanan antarabangsa yang ditakrifkan sebagai aksi berstatus A atau Tier 1 itu, agak mengejutkan penyediaan venue aksi itu disifatkan tidak setaraf dengan tahap atau ‘level’ perlawanan terbabit.

Sekali pandang, tidak keterlaluan dikatakan padang berkenaan seolah sebuah padang taman di tepi jalan ataupun padang berbayar yang terdapat di sekitar Lembah Klang.

Malah sesekali, kelihatan kelibat individu berlari atau ‘jogging’ di sebalik pagar dengan laluan pejalan kaki di luar padang.Adakah benar aksi antara skuad negara dan Syria itu adalah tahap Tier 1, atau ia hanya perlawanan kelas B sahaja?.

Malah dapat dilihat sepanjang siaran langsung di kaca televisyen, papan elektronik keputusan diletakkan di luar pagar seolah olah menggambarkan ia baru dipasang oleh pihak tuan rumah iaitu Persatuan Bolasepak China (CFA).

Bukan itu sahaja, kenderaan ambulans juga diletakkan di luar pagar yang sebenarnya mengundang masalah di mana, jika terdapat pemain mengalami kecederaan serius yang memerlukan bantuan sesegera mungkin, dibimbangi lewat untuk memberi bantuan.

Persoalannya, adakah kemudahan ini menepati standart Fifa atau lebih tepat mengikut garis panduan pelaksanaan perlawanan antarabangsa tahap 1?.

Atau adakah sebenarnya ia helah CFA yang melancarkan ‘perang psikologi’ lebih awal kepada skuad Harimau Malaya yang akan ditentang pada Sabtu ini, di mana aksi terbabit bakal dilangsungkan di venue lebih canggih dan moden iaitu di Stadium Phoenix Hill, di Chengdu nanti.

Malah difahamkan, Syria juga akan turun menentang China pada Selasa depan jugal di Stadium Phoenix Hill yang mampu mengisi hampir 60,000 penyokong dalam satu-satu perlawanan.

Apapun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih peka dalam menentukan venue aksi antarabangsa terutama di luar negara selepas ini kerana ia seolah memperkecilkan kemampuan pasukan serta memperlekehkan maruah negara.

CFA harus ingat, bahawa Harimau Malaya adalah antara 24 pasukan terbaik benua ini yang bakal beraksi di pentas Piala Asia di Qatar pada Januari depan

sumber:- HM

Malah Malaysia layak bukanlah atas tiket ‘wildcard’ atau ihsan, sebaliknya layak secara merit hasil usaha keras barisan kejurulatihan dan pemain untuk menamatkan badi 42 tahun beraksi di Piala Asia.