Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi terpuji pada babak kedua apabila berjaya mengikat Syria 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium East-Town Football Park, Chengdu, China, semalam.
Menurunkan kesebelasan utama tanpa penyerang tulen, percaturan pengendali kebangsaan Kim Pan Gon gagal memberi impak dimahukan apabila jentera serangan sukar mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
Situasi itu digunakan Syria dengan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi sepakan deras Mardik Mardikian untuk menewaskan Syihan Azmi.
Syria terus menggandakan jaringan pada minit ke-41 hasil tandukan Yassin Samia pada minit ke-41 untuk meletakkan mereka selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, tindakan Pan Gon melakukan beberapa pertukaran pemain termasuk mengeluarkan Arif Aiman Hanapi dengan mengganti Akhyar Rashid nyata membuahkan hasil apabila skuad kebangsaan dilihat lebih banyak mendominasi permainan dan melakukan serangan.
Pemain paling bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan itu nyata gagal memberi impak seperti yang disumbangkannya bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada babak pertama sekali gus terpaksa dikeluarkan oleh Pan Gon.
Gol yang dicari skuad negara akhirnya menjelma pada minit ke-51 menerusi ledakan Akhyar yang mudah menewaskan penjaga gol Syria Ahmad Madanieh selepas menerima umpanan cantik Endrikck.
Jaringan itu menyuntik semangat skuad negara apabila terus mencipta beberapa peluang sekali gus membuat pertahanan Syria dipaksa berkerja keras.
Serangan demi serangan skuad negara akhirnya membuahkan hasil apabila Darren Lok bijak melakukan tindakan susulan untuk gol penyamaan selepas penjaga gol Syria, Ahmad Madanieh gagal mengeluarkan rembatan Safawi Rasid pada minit ke-85.
Kejayaan mengikat pasukan Syria di ranking ke-94 berbanding Malaysia tangga ke-136 sekali gus memberi amaran kepada China (ke-80) pada aksi seterusnya Sabtu ini.