sukan

Ada pihak gelar Akhyar sebagai ‘pakar perlawanan antarabangsa’

Akhyar Rashid terus membuktikan bahawa dia sememangnya berhak menyarung jersi Harimau Malaya walaupun kurang mendapat minit permainan dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dia yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua meledak gol pertama Harimau Malaya ketika skuad itu bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria 2-2 dalam aksi persahabatan di Stadium East-Town Football Park, Chengdu, semalam.

Ia bukan kali pertama Akhyar berjaya memberi impak besar kepada skuad kebangsaan dengan dia turut menyumbang gol ketika Malaysia menewaskan Turkmenistan (1-0) dan Hong Kong (2-0) dalam aksi persahabatan, Mac lalu meskipun pemilihannya ke skuad kebangsaan sering dipertikai sesetengah pihak.

Malah, impak yang dibawa penyerang berusia 24 tahun itu dalam skuad Harimau Malaya turut menyaksikan ada pihak yang menggelarnya sebagai ‘pakar perlawanan antarabangsa’ dan ‘pakar pemain gantian’.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah mengakui Akhyar memiliki bakat semulajadi sebagai pemain bola sepak dan ia terbukti dengan apa yang dipamerkan bersama skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, latihan berintensiti tinggi bersama JDT juga menjadi antara faktor utama Akhyar mampu memberikan persembahan terbaik bersama Harimau Malaya biarpun kekurangan minit permainan dengan kelab.

“Bezanya kita kena faham, pemain di JDT walaupun tak main dalam liga tetapi bentuk latihan mereka berintensiti tinggi. Ada sesetengah pemain yang ada minit permainan dalam liga belum tentu boleh beraksi dengan baik di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya.

“Bagi saya Akhyar sudah buktikan banyak kali. Dia masuk dengan semangat tinggi kerana kurang bermain dalam liga. Saya fikir dia memang tunggu peluang Kim Pan Gon bagi dan dia masuk padang untuk tunjukkan sesuatu, malah dia berjaya buktikan.

“Itu gelaran (pakar perlawanan antarabangsa) orang nak bagi pada dia, tapi yang paling penting atitud serta persiapan mental dan fizikal dia sendiri. Setakat ini dia tak pernah kecewakan Pan Gon, sebab itu dia dalam senarai pemain skuad kebangsaan,” katanya kepada BH Sukan.

Mengulas mengenai persembahan Harimau Malaya berdepan Syria, Azraai menjelaskan terdapat perkara positif daripada aksi yang ditampilkan anak buah Pan Gon apabila berjaya bangkit mengikat kedudukan selepas ketinggalan dua gol.

Beliau berkata, pemain Harimau Malaya menunjukkan atitud berbeza di bawah kendalian Pan Gon selain dua pemain naturalisasi Paulo Josue dan Endrick Dos Santos berjaya memberi sumbangan yang baik buat skuad negara.

“Selepas ketinggalan, semua pemain bekerja keras dan menunjukkan semangat melawan. Bagi saya seri adalah keputusan yang bagus kerana apa yang penting kejayaan pasukan bangkit dari ketinggalan.

sumber:- BH

“Berdepan China (Sabtu ini) saya jangka satu perlawanan yang sangat sukar berdasarkan ranking dan tahap mereka. Kita harap aksi berdepan Syria menjadi satu motivasi untuk pasukan dan Pan Gon juga pasti tahu apa yang kena tambah baik,” katanya.