sukan

Pamer belang Harimau Malaya kelas A

SKUAD Harimau Malaya yang akan berdepan Syria dan China di Chengdu, China disifatkan pasukan bayangan menggalas cabaran ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Malah, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan kumpulan para pemain dipilih pengendali Kim Pan-gon juga merupakan kombinasi terbaik dalam merealisasikan perancangan Harimau Malaya.

“Sejujurnya ini merupakan perlawanan persahabatan kelas A yang amat diperlukan oleh Harimau Malaya selama ini.

“Kita bukan lagi jumpa pasukan seperti Bangladesh, Maldives, Nepal atau lain-lain lagi, malah China dan Syria juga akan bertanding di Pusingan Akhir Piala Asia di Qatar tahun depan

“Pada saya a good fight for Harimau Malaya dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, khasnya Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

“Dan Kim Pan-gon sendiri sudah pasti mahukan para pemain terbaik bagi berdepan Syria dan China yang merupakan antara jagoan bola sepak Asia.

“Ya, barisan para pemain yang dibawa Kim Pan-gon juga merupakan barisan pemain terbaik yang dapat dihimpunkan untuk dua perlawanan ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebagai rekod, skuad kendalian Pan-gon akan memulakan kempen pemanasan badan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan Piala Asia 2023 berdepan Syria pada Rabu diikuti China (9 September).

Di Qatar pada Januari depan, Harimau Muda diletakkan dalam Kumpulan E bersama gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan dan dua pasukan dari Asia Barat iaitu Jordan dan Bahrain.

Sementara di Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pula, anak buah Pan-gon akan menentang Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan atau Timor Leste.

Pada masa sama Irfan Bakti juga berharap skuad Harimau Malaya dapat mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan sebelum sepak mula Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

“Sejujurnya, saya akui bahawa dua perlawanan berdepan Syria dan China ini tidak cukup lagi sebenarnya.

“Sebaliknya Persatuan Bolasepak Malaysia perlu mencari dua lagi perlawanan yang skuad Harimau Malaya ‘boleh makan’ sebagai dos penggalak sebelum temasya di Qatar.

“Sama seperti Brazil yang datang ke Malaysia sebelum menyingkap saingan Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

sumber:- SH

“Kita perlu cari pasukan lawan yang boleh kita makan, maksud saya bukan pasukan yang lemah tapi yang akan meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan para pemain Harimau Malaya,” katanya.