sukan

Kemenangan yang sangat penting

Aksi berdepan Syria yang menghuni tangga ke-94 dunia bakal memberi tentangan berbeza terutamanya corak permainan lebih fizikal dan agresif daripada negara Asia Barat itu dalam aksi persahabatan di Chengdu, China malam esok .

Pemain pertahanan tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan berkata, corak permainan berfizikal itu perlu di adaptasi segera memandangkan cabaran sama bakal ditempuhi apabila bersaing di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November ini serta Piala Asia di Qatar, Januari depan.

Katanya, input daripada aksi persahabatan antarabangsa menentang Syria di Stadium Bolasepak East-Town di Chengdu, China penting bagi menguji barisan skuad Harimau Malaya.

“Ia sudah pasti satu perlawanan yang sukar tetapi ini yang kami perlukan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia dan juga persiapan ke Piala Asia.

“Kami perlu bermain permainan sukar ini bukan hanya untuk menguji sebagai individu tetapi juga sebagai satu pasukan untuk melihat di mana kekuatan dan kelemahan kami. Ini juga penting buat barisan kejurulatihan mengkaji di mana tahap pasukan ini berada.

“Kami juga jangkakan aksi yang lebih fizikal bertemu Syria dan China kerana mereka mempunyai tubuh yang besar dan mereka juga bagus dalam ‘set piece’ tetapi kami hanya perlu fokus kepada diri kami dan cara permainan kami.

“Kami sudah mengetahui apa yang akan dilakukan oleh kedua-dua pasukan lawan dan berharap dengan input itu ianya akan memberikan kelebihan buat kami,” katanya.

Selepas aksi dengan Syria, skuad kendalian Kim Pan-gon bakal mengharungi satu lagi aksi sukar bertemu pasukan tuan rumah, China yang menghuni kedudukan 80 dunia itu.

Untuk rekod, pertembungan antara Malaysia (ranking 136) dan Syria agak seimbang dengan kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak empat kali sejak 1978.

Skuad negara menang dua kali masing-masing menerusi kemenangan 5-2 dalam saingan PestaBola Merdeka pada 23 Julai 1978 dan aksi persahabatan antarabangsa pada 30 Disember 2009 yang menyaksikan pasukan kebangsaan menang 4-1.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya tumbang dalam dua baki pertemuan apabila tewas 0-3 dan 1-2 dalam dua perlawanan persahabatan pada 2014 dan 2017 lalu.

Ujar pemain Selangor FC itu lagi, dia mahu terus menyumbang dan memastikan pasukan mengekalkan rekod kemenangan sepanjang musim ini selepas mengharungi empat aksi tanpa kekalahan.

“Saya juga tidak peduli siapa pun yang menjaringkan gol asalkan pada akhirnya kami memenangi perlawanan. Bola sepak adalah perlawanan berpasukan dan kami perlu membantu satu sama lain dan siapa pun yang menjaringkan gol tidak penting asalkan kami menang,” katanya.

sumber:- HM

Sepanjang tahun ini, anak didik Pan-gon tidak tewas menerusi empat kemenangan ke atas Turkmenistan, Hong Kong, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea yang kesemuanya berlangsung di halaman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.