sukan

Tuah bumi China sekali lagi ditagih Safawi

Tuah bumi China sekali lagi diharapkan penyerang skuad kebangsaan, Safawi Rasid untuk membantu Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan antarabangsa berdepan Syria dan China pada Rabu dan Sabtu ini.

Pemain berusia 26 tahun itu pernah mencetak nama selaku penjaring dalam aksi di China termasuk meledak satu gol ketika berdepan Iraq dan Jordan dalam aksi peringkat kumpulan Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun pada 2018.

Skuad B-23 negara mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan.

Safawi yang lebih mesra disapa Pawi juga pernah menyumbang satu gol buat Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika skuad itu tewas 1-2 kepada Shandong Luneng di Stadium Olimpik Jinan dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019.

Justeru, Pawi menjelaskan bahawa dia akan memberikan aksi terbaik termasuk berusaha menyumbang jaringan buat Harimau Malaya berdepan Syria dan China yang akan berlangsung di Chengdu, China.

“Kalau diberi peluang untuk bermain mana-mana perlawanan saya akan buat yang terbaik dan dengan skuad yang ada ketika ini saya berasa kita ada peluang cerah untuk menang.

“Sasaran saya yang penting pasukan menang dan soal siapa yang jaringkan gol itu saya tidak kisah. Cuma, siapa yang dapat jaringkan gol adalah bonus buat Harimau Malaya.

“Apa pun kami terima segala arahan daripada jurulatih dan apa yang dia bagi saya akan laksanakan dalam padang demi membantu pasukan negara,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) sebelum berlepas ke Chengdu, hari ini.

Aksi berdepan Syria dan China yang menghuni ranking ke-94 dan 80 dunia dianggap ujian terbaik buat Harimau Malaya dalam usaha ketua jurulatih, Kim Pan Gon mempersiapkan pasukan ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun depan.

Mengulas lanjut, Pawi mengakui barisan pemain Harimau Malaya bakal berdepan tentangan sengit dalam perlawanan itu berdasarkan reputasi dimiliki Syria dan China.

sumber:- BH

“Dua perlawanan ini ujian yang bagus untuk kami apabila lawan dengan pasukan ranking lebih tinggi. Kita hormati Syria dan China dan kami juga akan memberikan aksi terbaik,” katanya.