sukan

Rugi jika kita terlepas

Pengurus pasukan bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar menaruh keyakinan skuad itu boleh meraih tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Doha, Qatar, tahun depan.

Keyakinan itu disuarakan Shahril selepas melihat skuad terbaik yang dapat dibawa ketua jurulatih, E Elavarasan bagi menghadapi kempen kelayakan di Thailand bermula Rabu hingga 12 September ini.

Malah, beliau berkata skuad Harimau Malaya B-23 juga memiliki peluang yang lebih baik apabila diundi dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Thailand, Bangladesh dan Filipina.

“Yakin (layak ke pusingan akhir) walaupun mungkin sukar juga. Tetapi kumpulan ini bagi saya kita patut bersyukur kerana jika tengok kumpulan lain, lebih sukar berbanding kita.

“Kalau kita tak gunakan peluang ini memang sayang, rugi sangat. Nak kata pasti (layak) tak boleh, dengan izin Allah. Namun, saya yakin dengan skuad yang ada ini, ia barisan terbaik kita kumpul.

“Kalau kita perhatikan rata-rata pemain yang ada ini adalah pemain berpengalaman. Walaupun muda tetapi mereka mendapat pendedahan dalam Liga Super.

“Ramai juga antara mereka yang sudah beberapa kali sertai skuad senior di bawah Kim Pan Gon. Sistem, corak permainan dan sebagainya saya tengok selepas enam hari latihan amat positif,” katanya.

Skuad negara yang berlepas ke Thailand, hari ini, akan membuka aksi Kumpulan H berdepan Bangladesh, Rabu ini sebelum menentang Filipina (Sabtu) dan aksi terakhir melawan Thailand (12 September).

Kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 menjadi medan menebus kekecewaan buat skuad B-23 negara selepas terkandas di peringkat kumpulan Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu dan gagal mencapai sasaran ke final Piala AFF B-23, bulan lalu.

Selain itu, Shahril turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang mudah terhadap kemampuan pasukan lain dalam Kumpulan H terutama Bangladesh dan Filipina.

sumber:- BH

“Kita akan berdepan Bangladesh, Filipina yang mana kita tak boleh perkecilkan kemampuan mereka. Saya yakin pasukan kita akan layak ke pusingan akhir di Doha, tahun depan, Insya-Allah,” katanya.