sukan

Misi Terengganu FC

Bekalan selesa menjadi misi bek kiri Terengganu FC (TFC), Arif Fadzilah Abu Bakar apabila berdepan Selangor FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 16 September ini.

Pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang itu berkata, kemenangan amat penting sebagai penyuntik semangat sebelum mengharungi aksi kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 September.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu sedar bukan tugas mudah untuk menjinakkan The Red Giants yang kini berada pada tahap prestasi terbaik dalam saingan Liga Super.

“Rekod pertemuan pada saingan Liga Super musim ini memihak kepada Selangor FC yang menang 5-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium MBPJ.

“Namun, saingan Piala Malaysia adalah berbeza dan kami perlu menang perlawanan pertama di Kuala Terengganu untuk membawa bekalan selesa sebagai bekalan sebelum aksi timbal balik nanti,” katanya.

Selepas aksi timbal balik itu, skuad Penyu bakal menanti kunjungan Selangor pada aksi pusingan kedua liga pada 29 September depan.

Arif berkata, mereka akan bertarung sebanyak tiga kali dengan Selangor pada bulan ini dan berharap episod tewas besar sebelum ini tidak berulang.

sumber:- BH

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu kini menghuni tangga keenam liga dengan 35 mata manakala Selangor di tangga kedua dengan 49 mata.