Penjaga gol skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menyifatkan kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand umpama ‘final exam’ atau peperiksaan akhir buat pasukan negara.
Pemain Negeri Sembilan itu menjelaskan Harimau Malaya B-23 sudah banyak belajar daripada pertandingan di Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23 tahun ini terutama menentang negara jiran, Thailand.
Dia berkata, skuad negara tidak boleh tewas lagi kepada Thailand selepas dua kali dikecewakan pasukan itu ketika tewas 0-2 dalam aksi peringkat kumpulan Sukan SEA, Mei lalu dan tunduk 3-4 menerusi penentuan penalti bagi penentuan tempat ketiga Piala AFF B-23, bulan lalu.
“Bagi saya ini ‘final exam’ untuk skuad B-23. Kita sudah jumpa Thailand di Sukan SEA dan kita juga jumpa mereka di Piala AFF. Jadi, kita ada beberapa pengajaran dan kita tak boleh tewas lagi.
“Dua perlawanan sebelum ini kita kalah, paling kurang kali ini kita menang atau seri. Saya rasa dalam kumpulan kali ini Thailand pasukan yang mungkin akan beri cabaran hebat,” katanya.
Skuad negara yang berlepas ke Thailand hari ini, akan membuka aksi Kumpulan H berdepan Bangladesh, Rabu ini sebelum menentang Filipina (Sabtu) dan aksi terakhir melawan Thailand (12 September).
Selain itu, Sikh Izhan menegaskan bahawa dia tidak kisah siapa yang akan menjadi pilihan jurulatih untuk diberi tanggungjawab sebagai benteng terakhir skuad negara.
Katanya, apa yang penting dia perlu fokus dan bersedia untuk memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan oleh ketua jurulatih, E Elavarasan.
sumber:- BH
“Kalau diberi peluang untuk bermain, saya akan berikan yang terbaik. Saya tak risau dengan posisi itu kerana Azim (Al Amin Kamaruddin) dan Rahadiazli (Rahalim) juga berada pada tahap terbaik,” katanya.