sukan

Kos VAR sah akan dipayung

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jelas perlu berdepan implikasi kewangan yang besar menerusi pelaksanaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) bermula musim depan yang menelan belanja hampir RM10 juta.

Amaun RM9.7 juta itu adalah bagi kos operasi tahun pertama teknologi terbabit memandangkan mereka perlu menyediakan infrastruktur dengan mengambil pendekatan menggunakan trak bergerak dilengkapi sistem terbabit untuk dikendalikan di stadium.

Selepas tahun pertama, MFL menjangkakan kosnya boleh mencecah RM3.2 juta untuk tahun berikutnya namun amaun itu tidak termasuk tambahan kamera yang akan digunakan bagi teknologi terbabit.

Namun, pasukan Liga Malaysia (Liga M) tampak boleh menarik nafas lega selepas Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan kos pelaksanaan VAR akan ditanggung sepenuhnya oleh badan pengendali itu buat masa ini.

“Buat masa ini, (kos) daripada MFL kerana penggunaan VAR dan kos VAR bukanlah satu perkara yang senang ditelan oleh pasukan. Dalam keadaan kedudukan kewangan pasukan yang agak ketat, ia adalah satu kos yang amat tinggi.

“Pada masa ini, MFL bergerak sebaik mungkin bagi memastikan kos itu dapat diambil daripada MFL sendiri. Jika ada kekangan di peringkat VAR, saya akan berbincang sendiri dengan ketua pegawai eksekutif pasukan mengenai perkara itu,” kata Stuart.

Bagaimanapun, ketika ditanya sekiranya pelaksanaan VAR yang ditanggung oleh MFL itu bakal memberi ‘kesan domino’ kepada agihan hak penyiaran, Stuart tidak boleh memastikan situasi terbabit.

“Saya tidak boleh sahkan untuk memastikan jika perkara itu akan mempengaruhi agihan hak penyiaran. Musim depan masih jauh lagi dan kita perlu pastikan rujukan keseluruhan kos yang akan diterima daripada kontraktor, penyiar dan penyediaannya.

sumber:- BH

“Pada masa ini, bajetnya adalah RM9.7 juta dan itu adalah kos maksimum untuk kita laksanakan VAR tetapi mungkin kita boleh dapat lebih rendah. Kita juga dapat mengkomersialkan VAR untuk mencari penaja,” katanya.