Sharul Nazeem Zulpakar perlu bersaing dengan ‘abang besar’ Harimau Malaya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad itu bagi dua aksi persahabatan antarabangsa pada Rabu dan Sabtu ini.
Ia bukan tugas mudah buat tonggak pertahanan Selangor itu apabila dia harus bersaing dengan ‘kereta kebal’ termasuk Dion Cools, Shahrul Saad dan Dominic Tan yang dianggap memiliki kelebihan dari aspek pengalaman.
Sharul Nazeem atau lebih mesra disapa dengan panggilan Afro bagaimanapun memberi jaminan akan memberikan yang terbaik jika mendapat peluang beraksi menentang Syria dan China di Chengdu, China nanti.
Dia berkata, pengalaman antarabangsa beraksi bersama Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan Gon amat diperlukan untuk meningkatkan lagi mutu permainannya dan boleh digunakan apabila bersama Selangor.
“Bagi saya bukan mudah untuk bersaing merebut tempat dengan kita semua tahu tempat (posisi) saya ada pemain yang lebih berpengalaman seperti Cools, Shahrul dan Dominic.
“Mereka sudah lama bersama skuad kebangsaan, namun saya berasa tiada tekanan. Saya cuma perlu berikan 100 peratus atas padang dan kalau diberi peluang dalam kesebelasan utama, saya akan buat yang terbaik.
“Saya mahu membantu pasukan meraih kemenangan dan menaikkan lagi ranking Malaysia. Jadi, saya harap dapat buat yang terbaik yang mana pengalaman itu juga saya boleh bawa ke kelab nanti,” katanya.
Sharul Nazeem tersenarai dalam 26 pemain yang dipanggil Pan Gon ke kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 29 Ogos lalu bagi menghadapi Syria dan China yang mana ia turut menjadi persiapan skuad itu sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023 awal tahun depan.
Melihat kepada senarai pemain yang ada, Cools dan Shahrul mungkin menjadi antara pilihan utama Pan Gon untuk mengemudi bahagian pertahanan Harimau Malaya.
Sharul Nazeem bagaimanapun menjelaskan bahawa dia menyerahkan sepenuhnya kepada Pan Gon sama ada mahu menurunkannya bagi menghadapi dua aksi persahabatan itu.
“Saya nampak permainan saya lebih kepada agresif dan saya tak tahu jurulatih nak letak saya lawan Syria atau China, itu terpulang kepada beliau. Paling penting saya kena fokus pada perlawanan dan berikan yang terbaik.
sumber:- BH
“Kita tidak boleh 100 peratus nak agresif kerana kena tengok pasukan lawan juga. Saya minta semua penyokong doakan untuk saya dan rakan sepasukan berjuang di tempat lawan,” katanya.