sukan

Semangat Kedah makin membuak-buak

Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Ott mahu prestasi yang ditunjukkan Sang Kenari ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-3 Sabtu lalu dapat dikekalkan bagi menghadapi baki lima perlawanan Liga Super musim ini.

Malah, beliau yang menyifatkan aksi ketika menentang JDT minggu lalu adalah yang aksi terbaik sepanjang musim ini dan mahu kebangkitan itu diteruskan dalam saingan Piala Cabaran yang akan bermula 19 September ini.

Kedah dijadualkan beraksi pada perlawanan timbal balik saingan suku akhir Piala Cabaran berdepan Kuching City FC pada 19 September ini dan 4 Oktober depan sementara lima baki Liga Super pula menyusul dengan menentang KL City FC pada 30 September, Negeri Sembilan FC (29 Oktober), Kelantan FC (24 November), Selangor FC (2 Disember) dan Sabah FC (17 Disember).

“Kejayaan mengikat JDT itu sememangnya menghidupkan peluang kami untuk menamatkan saingan di tempat kedua liga dan layak untuk ke saingan peringkat AFC musim depan.

“Jadi dengan semua baki perlawanan yang akan dihadapi ini, sudah pasti ianya bukan laluan mudah dan kami perlu tingkatkan tahap kecergasan serta mentaliti dalam permainan bagi memastikan momentum terbaik dalam menuju penghujung musim ini,” katanya.

sumber:- BH

Ott juga berkata, kejayaan skuad Kenari melakar lima kemenangan berturut-turut dan satu keputusan seri juga menunjukkan semua pemain sedang mempertingkatkan keupayaan diri masing-masing sebelum mengharungi semua baki perlawanan musim ini.