sukan

Sah tak dapat digunakan untuk Final

Penyokong bola sepak tempatan nampaknya perlu menunggu sehingga tahun depan untuk menyaksikan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) ‘beraksi’ dalam kancah bola sepak tempatan.

Ini selepas perancangan awal untuk menggunakan teknologi terbabit pada final Piala Malaysia tahun ini terpaksa dilupakan dan penggunaannya bakal dianjak ke musim 2024.

“VAR akan digunakan tahun depan kerana apa yang kita lihat dan dimaklumkan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tidak sempat nak gunakan namun persiapan sudah bermula pada tahun ini.

“Setakat ini kita tidak pasti bila akan digunakan namun untuk final Piala Malaysia, tak sempat (guna VAR),” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata, badan pengendali liga itu akan berbincang dengan wakil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai kesediaan pengadil tempatan bagi mengendalikan teknologi terbabit pada final Piala Malaysia nanti.

“Kita akan berbincang dengan FIFA untuk melihat kesediaan pengadil. Jika pengadil boleh melakukannya namun tiada kemudahan pun tidak boleh juga.

“Jadi, saya boleh mengesahkan perkara itu apabila modul ini tamat dan akan berbincang dengan FIFA untuk mendapatkan garis masa bersesuaian,” kata Stuart.

Selain itu, ketika ditanya sama ada MFL akan menggunakan khidmat pengadil asing untuk menguruskan VAR, Stuart memaklumkan cadangan itu mungkin akan membabitkan kos yang tinggi walaupun membabitkan hanya satu perlawanan.

sumber:- BH

“Saya fikir di peringkat MFL, keutamaan adalah VAR dan kita hanya perlukan pengadil asing di atas padang kerana untuk memanggil individu berkenaan menguruskan teknologi terbabit bukannya murah,” katanya.