sukan

Bekas Pemain Malaysia cipta sensasi di Vietnam

Bekas penjaga gol Malaysia, Azmin Azram Abdul Aziz mencipta sensasi di bumi Hanoi apabila mengecapi trofi pertamanya sebagai jurulatih dengan membantu Cong An Ha Noi (CAHN) atau Hanoi Police muncul juara V League 1, baru-baru ini.

Keputusan seri 1-1 yang dicatatkan ketika bertemu Dong A Thanh Hoa FC di laman sendiri itu sudah cukup untuk menghadiahkan kejuaraan kedua buat kelab itu berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan meskipun terikat 38 mata bersama pencabar terdekat, Hanoi FC.

Menerusi laman Instagram milik Azmin Azram memaklumkan bahawa kemenangan itu sekali gus melayakkannya menjulang trofi cukup membanggakan sekali gus bersemangat untuk terus menabur bakti bersama pasukan terbabit.

“Tak pernah terlintas dalam kepala saya pasukan kita akan menjadi juara V-League 1. Syukur Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan rezeki dan pencapaian tertinggi buat saya sebagai jurulatih penjaga gol CAHN di Vietnam.

“Penghargaan tertinggi saya tujukan buat Effendi Jagan (Abdullah) dan Mashiedee (Sulaiman) yang telah membantu saya sepanjang karier baru saya di sini.

“Barakallahu Fik. Semoga Allah memberi kemudahan dan merahmati anda berdua. Allahumma Amin,” katanya dalam satu hantaran di Istagram miliknya.

Lebih manis untuk diperkatakan, Cong An Ha Noi baharu sahaja dinaikkan pangkat ke saingan V League 1 pada musim ini selepas muncul juara V League 2 musim 2022.

Antara pemain bintang Vietnam yang menggalas tanggungjawab bersama kelab tersebut ialah Nguyen Quang Hai dan Doan Van Hau.

sumber:- HM

Mengikut rekod, Azmin Azram menyertai CAHN sebagai jurulatih penjaga gol pada awal Januari lalu selepas tidak lagi bersama skuad negara.