sukan

Azimat lawan JDT

Tempoh kira-kira dua minggu bakal digunakan sebaik mungkin Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk memperkasakan lagi kekuatan sebagai persiapan hadapi saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 September depan.

Selepas tewas kepada Sabah FC, 1-3, pada perlawanan terbaru Liga Super di gelanggang lawan, Sabtu lalu, pemain skuad Hobin Jang Hobin bertekad meningkatkan lagi prestasi mereka menjelang cabaran menentang Johor Darul Ta`zim (JDT).

Penyerang muda Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj, akui persiapan lebih rapi perlu dibuat bagi menghadapi perlawanan dengan skuad Harimau Selatan itu.

Menurutnya, rekod pertemuan dengan JDT yang tidak pernah memihak kepada Negeri Sembilan, perlu dijadikan rujukan dalam persiapan kali ini.

“Saya dan rakan-rakan dalam pasukan amat sedar akan cabaran yang terpaksa dihadapi setiap kali bertemu JDT.”Memang rekod pertemuan sebelum ini tidak pernah memihak kepada kami, tapi kami sentiasa berusaha memberikan persembahan terbaik kerana keinginan tinggi untuk mendapatkan keputusan yang baik setiap kali bertemu JDT.

“Untuk itu, kami akan memanfaatkan tempoh yang ada dengan sebaik mungkin bagi memantapkan kekuatan pasukan kerana menjadi hasrat kami untuk memberikan tentangan habis-habisan pada pertembungan itu nanti,” katanya di sini, hari ini.

sumber:- HM

Pemain berusia 25 tahun itu, menyifatkan bukan mustahil buat pasukannya mencipta sesuatu yang positif sepertimana dilakukan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berjaya mengikat JDT dengan keputusan seri dalam aksi liga, baru-baru ini.